PROSES DIALOG DAMAI – Tahun ke 3 (2017)

PROSES DIALOG DAMAI – Tahun ke 3 (2017)

Oleh : Abu Hafez Al-Hakim
( Penulis adalah seorang anggota panel di dalam Proses Dialog Damai )

Artikel saya berkenaan proses damai tahun kedua ( https://www.deepsouthwatch.org/node/9977 ) berakhir dengan harapan yang tinggi bahawa pelaksanaan Zon Selamat akan diuji sebagai projek perintis menjelang pertengahan tahun 2017. Namun ia tidak berlaku. Ini membuktikan bahawa proses damai tidak dapat diduga, rapuh dan penuh dengan rintangan.

Pasukan Teknikal bersama atau Joint Technical Team (JTT) dari kedua pihak mula merangka garis kasar Zon Selamat -the General Framework for the Safety Zones ( GF-SZ) sejak Oktober 2016. Menjelang Febuari 2017 ianya siap dan dimajukan kepada meja dialog utama ke tiga Joint Working Group – Peace Dialogue Process ( JWG-PDP ) pada 28 Febuari 2017 untuk disahkan. Satu lagi pencapaian proses damai. Menariknya tarikh itu bersamaan dengan tarikh bersejarah termeterainya Persepakatan Umum – The General Consensus on Peace Dialogue Process di Kuala Lumpur empat tahun lalu. Pihak parti B menamakan lima daerah yang boleh dilaksanakan Zon Selamat ( ZS) darinya hanya satu akan terpilih sebagai projek perintis iaitu , dua di Narathiwat, dua di Yala dan satu di Patani. Bagimanapun namanama daerah itu tidak dihebahkan kepada umum.

Satelah kerangka GF-SZ disahkan, pasukan JTT terus memperincikan komponen, peraturan dan aspek pelaksanaan bagi kerangka tersebut. Pada paksi agendanya adalah pembebasan tahanan termasuk prosidur undang-undang dan implikasinya, penubuhan Safe House ( SH ) sebagai pusat penyelarasan dan pembentukan jawatankuasa bersama – Joint Action Committee ( JAC ) pada mana-mana Zon Selamat yang ditentukan.

Pasukan JTT bermesyuarat pada 6 April 2017 bagi membentuk pasukan penilaian- Assessment Team (AT) untuk sama-sama meninjau dan megenalpasti satu daerah yang akan dimulakan sebagai projek perintis. Walau bagaimanapun pada mesyuarat berikutnya 27 April 2017 isu AT telah digugurkan kerana pihak parti B telah diberi hak untuk memilih “satu daerah” pada permulaan tahap penyediaan . Mesyuarat seterusnya membincangkan penubuhan SH , sebuah pusat penyelarasan dianggotai oleh pasukan bersama tempatan ( 7 dari setiap pihak ) yang akan membatu dan menyelaraskan penubuhan JAC di dalam ZS.

Seperti juga ToR ( Term of References) dokumen berkaitan dengan ZS masih besifat sulit. Dengan itu ia banyak menimbulkan persoalan dan andaian. Tempoh tiadanya mesyuarat selama hampir empat bulan menambahkan lebih pertanyaan. Apakah mereka sedang menghadapi masaalah di meja ? Adakah proses masih wujud dan bergerak ? Lebih banyak pula soalan ditujukan kepada Zon Selamat. Adakah ianya gencatan senjata atau satu model kawasan aman ? Jawapannya ialah kedua-duanya tidak.

Pertama, pada asasnya, ZS adalah berkaitan dengan PERLINDUNGAN ORANG AWAM. Di dalam manamana ZS yang ditentukan, kesejahteraan dan keselamatan orang awam dalam kehidupan seharian diberi keutamaan. Kedua-dua pihak ( A dan B ) harus mengelak melakukan serangan apabila dijangka akan melibatkan kecederaan kepada orang awam. Sebaiknya tidak berlaku sebarang kejadian kekerasan dari semua pihak di dalam ZS. Namun sekiranya berlaku juga, kedua-dua pihak akan bekerjasama bagi mengenalpasti pihak yang terlibat dan diambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada.

Kedua, kebebasan bersuara dijamin. Rakyat bebas mengemukakan pandangan, terutamanya tentang politik , tanpa tekanan, gangguan atau ugutan. Forum terbuka dan segala perbincangan berkaitan dengan isu komuniti setempat digalakkan.

Ketiga , rakyat di dalam ZS boleh mengambil bahgian dan menentukan apa yang meraka mahu atau tidak mahu untuk komuniti mereka melalui jawatankuasa bersama – JAC. Ini selaras dengan polisi ” Komuniti mengurustadbir sendiri “.

Projek perintis di sebuah daerah akan menjadi latihan membina keyakinan dan kayu pengukur sejauh mana kedua-dua belah pihak boleh benar-benar bekerjasama setelah bertahun-tahun mereka bermusuhan dan kemampuan mereka untuk membendung kekerasan.

Tempuh masa ZS akan bermula dengan tertubuhnya SH atau pusat penyelarasan. Tiga bulan diperuntukkan bagi penyediaan dan tiga bulan berikutnya bagi pelaksanaan. Apabila tamat tempuh( enam bulan) pihak JTT akan menilai dan membuat cadangan kepada mesyuarat JWG-PDP sama ada ZS perlu dilanjutkan, diperluaskan, digantung atau dihentikan terus.

Pada 12 September2017, JTT bertemu lagi. Pada kali ini pihak parti A menekan untuk mengetahui nama “satu daerah” tersebut , sedangkan parti B mahu kesemua isu berkaitan ZS diperhalusi dan dipersetujui terlebih dahulu sebelum mendedahkannya. Perselisihan terhadap isu ini telah mendorong pihak fasilitator menamatkan mesyuarat sebelum makan tengahari . Kedua-dua pihak akan pulang mengulangkaji pendirian masing-masing dan kembali semula ke meja dalam masa dua minggu. Itu merupakan halangan kedua yang dihadapi di meja ( halangan pertama ialah ketika berselisih tentang ToR pada mesyuarat 27 April 2016 ).

Mesyuarat yang dijangkakan pada 27 September 2017 tidak berlaku. Pihak fasiliator sedang berurusan dengan pihak BRN (aliran utama) yang sebelum ini telah membuat kenyataan media dan mengemukakan cadangan berkaitan pendirian mereka terhadap proses damai. Datuk Seri Zamzamin Hashim dikatakan sedang mengaturkan pertemuan di antara General Aksra Kerdphol, ketua panel Thai dengan Ustaz Dunloh Wae Matnor atau Paksu Loh dari BRN. Meskipun terdapat khabar angin dan lapuran media yang samar serta spekulasi diplomatik, pertemuan kontroversi itu belum lagi berlaku. Inisiatif masih berlanjutan.

Tidak ada lagi mesyuarat damai sehingga penghujung 2017. Walau bagaimanapun kedua-dua pihak terus berkomunikasi melalui pihak fasilitator berkenaan isu-isu ZS yang masih tertangguh. Perlu juga disebutkan di sini bahawa pada awal tahun 2018 cahaya di hujung terowong semakin jelas. Di dalam satu pertemuan luar meja dialog di Kuala Lumpur pada bulan Januari, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan yang dapat memecahkan kebuntuan dan bersetuju untuk meneruskan mesyuarat dialog damai. Ini dengan berlakunya pertemuan pihak JTT pada 7 Febuari 2018 , di mana mereka merumuskan saki baki isu ZS. Tinggal hanya dua atau tiga kali sahaja pertemuan lagi kedua-dua pihak akan dapat memulakan pelaksanaan ZS di daerah perintis tersebut.

Kejayaan ZS sangat bergantung kepada sejauh mana kedua-dua pihak dapat bersetuju di atas agenda bersama : Mewujudkan suasana aman dan selamat bagi orang awam, membuka ruang untuk kebebasan bersuara dan memberi pandangan , dan memberi peluang kepada rakyat mengurustadbir komuniti mereka sendiri dalam segenap aspek. Badan-badan NGO dan CSO akan berperanan penting di dalam ZS. Meraka akan menjadi sebahgian daripada JAC , bertindak sebagai narasumber, pendokong dan bekerjasama dengan wakil-wakil komuniti yang dipilih . Mereka juga akan membantu mengendalikan forum umum dan usaha mencari/mengumpul fakta.

Pun begitu, ZS tidak akan sunyi daripada cabaran dari luar dan dalam. Usha sabotaj yang dijangkakan dari kalangan penentang proses damai dan juga pengacau tidak harus dipandangan ringan. Hanya melalui kebijaksanaan, kerjasama, kesabaran , keikhlasan dan komitmen yang tinggi dari kalangan mereka yang terlibat berserta dokongan kuat dari rakyat , suasana yang aman dan selamat bagi orang awam dapat diwujudkan. Ia merupakan langkah pertama ke arah penyelesaian konflik secara adil, menyeluruh dan berkekalan.

Abu Hafez Al-Hakim

( Jurucakap MARA- Patani )

15 Febuari 2018 / 29 Jamadil Awwal 1439 H

Please follow and like us:

About author

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *