PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI 1440 H(2019)

PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI 1440 H(2019)

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar ..wa lillahilhamd

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT ,tuhan sekelian alam. KepadaNya kami bergantungharap, tiada tuhan selain Allah yang Esa , janjiNya benar dan Pendukong hambanya. Dia memuliakan tenteraNya dan mengalahkan gerembolan musuh dengan kekuasaan Dirinya. Selawat dan Salam kepada pemimpin junjungan kita Muhammad SAW yang membawa rahmat dan petunjuk kepada sekelian alam melalui agama yang benar dan diredhai Allah SWT. Kami dari Majlis Syura Patani mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran dan tahniah kepada semua Umat Islam Patani , walau di mana sahaja mereka berada, kerana telah dengan jayanya menyempurnakan ibadat bulan Ramadhan yang penuh barokah. Marilah kita sama-sama meraikan kejayaan ini menjelang bulan Syawal , semoga semangat dan roh Ramadhan akan dikekalkan dan dipertingkatkan seterusnya.

Rakyat Patani yang dihormati sekalian.

Perjuangan kita untuk membebaskan diri dari belengu penjajahan akan berterusan sehingga
kedamaian hakiki dapat dicapai di bumi kita Patani. Ertinya , secara manapun kita menyusuri
laluan perjuangan, samada melalui gerakan bersenjata ataupun diplomasi dialog di meja
rundingan, Patani hanya akan damai apabila rakyatnya yang mendiami kawasan itu dapat
dengan bebasnya mencorak dan menentukan nasib dan masa depan mereka sendiri ( Right to
Self-determination ) dan keadilan undang-undang dapat ditegakkan.

Selama ini hak-hak itu telah dinafikan. Segala konflik dan permasaalahan yang tercetus di bumi
kita adalah berpunca daripadanya. Maka timbullah permusuhan, kekacauan, penindasan dan
diskriminasi di setiap lapisan masyarakat, keadaan dan tempat. Pihak kerajaan penjajah
sentiasa mencari helah dari segenap sudut untuk memastikan Patani tidak akan terlepas dari
genggaman mereka.

Mutakhir ini kita dapat saksikan sendiri betapa licik dan tidak bermaruahnya mainan politik
pihak penjajah di kalangan mereka sendiri, merebut kuasa dengan tipu helah yang memalukan
pada sebelum, semasa dan selepas pilihanraya umum yang lalu ( Mac 2019 ). Dunia semua
dapat melihat mainan mereka, hatta di dalam parlimen yang dianggap mulia itu pun mereka
masih bersendiwara dan bertindak secara kotor dan jijik terhadap satu sama lain.

Maka kita tidak hairan apabila sikap sendiwara, penipuan dan penindasan itu dipanjangkan
kepada rakyat kita di bumi Patani, bukan terhadap orang Melayu sahaja, malah orang Cina dan
Siam juga turut merasai peritnya mainan politik kotor oleh penjajah.

Kami di Majlis Syura Patani yang berperanan ‘melawan’ dengan kerajaan Penjajah Thai di meja
dialog pun menghadapi kerenah yang sama. Pada permulaan dialog mereka tidak bersedia
menandatangani dokumen Terma Rujukan ( Terms of Reference ) yang telah dibincang dan
dipersetujui bersama dengan alasan yang sangat dangkal. Kemudian apabila dialog berterusan
untuk mewujudkan Zon Selamat( Safety Zone ), perbincangan selama hampir dua tahun telah
mengahasilkan beberapa dokumen persetujuan secara bersama. Sekali lagi mereka berdolak
dalik tidak mahu mengesahkan persetujuan itu dengan tandatangan . Itulah sebab utama
mengapa gagasan Zon Selamat tidak dapat dilaksanakan dan proses damai bersama kerajaan
tentera terhenti.

Rakyat Patani yang dikasihi,

Walau apapun rintangan di medan dan di meja dialog , gerakkerja kita akan berterusan. Siapa
sahaja yang berkuasa sebagai kerajaan di Bangkok( government of the day) akan kita hadapi.
Majlis Syura Patani tetap bersiap siaga untuk kembali ke meja dialog apabila pembentukan
kerajaan Thai yang baru selesai. Pengunduran Ustaz Shukri Hari selaku ketua panel dialog Majlis
Syura Patani akan ditangani dengan sebaik mungkin melalui proses Syura. Pengumuman rasmi
akan menyusul apabila keputusan muktamad dicapai.

Kami menyeru kepada semua rakyat Patani di segenap lapisan, semua etnik dan agama, juga kepada pihak antarabangsa, supaya sama-sama menyokong dan mendokong proses damai ke tahap yang lebih tinggi di mana perkara-perkara pokok ( substantive issues ) dapat dibawa ke meja dialog. Hantarlah sebarang cadangan dan pandangan melalui saluran tertentu yang tersedia. Hasil akhir kedamaian hanya akan dapat dicapai melalui proses damai hakiki oleh kedua-dua pihak dengan jujur dan ikhlas, yang ingin melihat penyelesaian yang adil, berkekalan dan meyeluruh untuk bumi dan rakyat Patani seluruhnya.

Sekian, selamat maju jaya, selamat berjuang, terus mara dan selamat menyambut Aidil Fitri Al
Mubarak. Minal Aaidin wal Faizin.

 

Wabillahi Taufiq wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.

 

Ustaz Awang Jabat

Pengerusi Majlis Syura Patani.                               30 Ramadhan 1440 H/ 4 Jun 2019

 

Please follow and like us:

About author

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *